Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KEBENARAN YANG HILANG

KEBENARAN YANG HILANG

Semakin canggih teknologi manusia
Semakin canggih juga ilmu tipudayanya

Manusia diasak dengan tamadun kebendaan yang mempesona
Meluruhlah nilai agama dari pegangan
Melunturlah warna budi dari pakaian
Pabila hawa nafsu telah dipertuhankan
Hilanglah nilai-nilai keinsanan dimamah gelora nafsu yang berluapan

Mata yang makin tersulap dengan kebendaan 
Sehingga kebenaran pun diperdagangkan
Bukan berjuang kerana Tuhan melainkan kerana mencari keuntungan keduniaan

Apakah itu namanya kebenaran?
Dan apakah kebenaran itu boleh dinilaikan dengan kebendaan.
Sedangkan umat terdahulu berhabis segala harta demi memperjuangkan kebenaran
Namun kini manusia menjual kebenaran demi untuk menimbunkan harta dan kemegahan

Sudah terbalikkah segala perjalanan?
Yang benar telah menjadi kesalahan
Yang batil telah jadi kebenaran yang disanjung dan diraikan

Berputarnya zaman membawa bersama perubahan wajah kemanusiaan
Namun kebenaran dan kebatilan itu jugalah yang diolah dengan berbagai corak pemikiran dan kelakuan
Peperangan antara hak dan batil itu akan tetap berterusan selagi ada mentari dan bulan

Beruntunglah orang-orang yang sadar dan melihat kenyataan lalu berada dalam barisan saf yang mengenggam kebenaran 
Tiada berganjak walau hebatnya serbuan badai fitnah yang melibaskan cacian dan celaan
Namun mereka tetap bertahan meredah segala terjahan dan halangan  Menyerahkan seluruh pengharapan kepada pertolongan dan pembelaan dari Tuhan semesta alam

Namun bagi yang terleka dan hanyut oleh perdayaan, mata tertutup dari melihat kebenaran kerana kelamnya cermin hati ditimbus noda-noda kelalaian dan keasyikan melayan nafsu kehaiwanan

Maka sang iblislah yang menjadi teman dan menyulap matanya melihat indah akan segala kebatilan
Hiduplah mereka dengan hanya ingin mencari keseronokan dan melayan angan-angan yang tiada kesudahan.
Hilang segala maksud dan tujuan 
Permata kemanusiaannya hilang terampas syaitan.

Wassalam

Debu Alam

Post a Comment for "KEBENARAN YANG HILANG"