Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

MENGHIMPUN RUGI

MENGHIMPUN RUGI

Duhai sang pengembara usia di titian masa
Senda apa jenakamu bergelak tawa
Dalam seronok menghimpun perca hampa
Mengumpul duri memenuhi ruang dada
Tanpa melihat bekurangnya usiamu detik demi detik
Dan langkahmu setapak demi setapak menghampiri kamar pusaramu
Masih tak terbangunkah sadarmu?
Masih tak terlihatkah suria kebenaran itu?
Apa makna quran itu dibacakan oleh sang utusan?
Apa makna rasul itu diutus menyerukan kebenaran?
Apakah kita mengangap agama hanya cerita bualan kosong?
Tanpa ada maksud Tuhan mengutuskan kalam dan rasul pilihan?
Apa sebenar pencarianmu?
Apa sebenar tujuanmu?
Berlagulah kisah manusia dalam mimpi yang berpanjangan
Tanpa rasa sadar akan maksud diri tercipta
Dan hanyut dalam lamunan tipu daya dunia
Entah kemana hilangnya pengertian
Entah kemana hilangnya pedoman
Terbuai asyik dendangan lagu zaman yang berhias irama kehampaan

Amatlah rugi masa terbuang melarik mimpi bersulam angan
Mengejar pelangi cita mencari bahagia entah dimana
Kebenaran hidup tak terlihat nyata
Tujuan hidup hilang petanya entah dimana
Berhiduplah dengan beraja di mata bersultan di hati
Kepada Tuhan langsung tiada ingati
Hukum Tuhan langsung tiada dipatuhi
Syatiat Tuhan langsung tiada dimengerti
Hakikat Tuhan langsung tiada dipeduli

Apa mahu jadi?
Maksud kemanusiaan tiada dimengerti
Maksud agama tiada di fahami
Janji hanya tinggal janji
Lebih malang ada yang langsung tidak tahu bahawa mereka pernah berjanji
Kerana leka dengan tipuan duniawi
Apakah esok tak akan pergi?
Untung apa yang akan dibawa kembali?
Jika hidup leka menimbunkan rugi
Ada mata namun terpejam dari melihat maknawi.
Amat rugi..
Terlalu rugi..
Usia yang diberi
Hanya menghimpunkan rugi.

Salam sang fakir 

Amir Debu Alam.

Post a Comment for "MENGHIMPUN RUGI"