MAU JADI APAKAH KITA ?
Dari kegelapan kota kemunafikan
Beraneka corak wajah-wajah berhias dengan topeng-topeng celupan
Engkau akan melihat kerakusan serigala berupa manusia membaham buas bangkai-bangkai kemungkaran
Kebengisan singa berupa manusia mendabik dada dalam kesombongan dan keegoaan memijak-mijak mangsa tanpa perikemanusiaan
Si penjilat-penjilat yang berpura-pura dengan kebaikan kerana tamak kepada habuan keduniaan
Ular-ular pembelit yang bijak dengan kata-kata memperdaya tanpa peduli siapa, asal ada kesempatan dan bisa meraih untung semua akan dibelit sebagai mangsa perdayaan
Dari kubang nista kemusyrikan
Sang iblis durhaka bersama bala tenteranya tanpa henti menghasut dan memperdayakan manusia dengan berbagai tipu helah beraneka corak tipuan
Menunggang dan memacu hawa nafsu manusia agar menjadi pendurhaka-pendurhaka dan menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhan sesembahan
Menghasut manusia-manusia yang tanpa pedoman menjadi syaitan-syaitan suruhan berbuat bencana dan menghuru-harakan kedamaian kehidupan
Dengan berbagai olah dendam dan sengketa sehingga berbunuh-bunuhan dan mencetuskan api peperangan yang membawa kemusnahan
Dari kubang noda kedosaan kemaksiatan
Manusia semakin ghairah menghimpun dosa sehingga menggunung ke awan
Dalam kelekaan dan keseronokan melayan perdayaan iblis dan syaitan, manusia sudah hilang gerun kepada keperkasaan Tuhan
Hilang malu dan rasa bersalah kepada Tuhan
Hilang pedoman dan hilang kepercayaan kepada Tuhan
Malah bermegah-megah dengan dosa yang dilakukan tanpa segan silu menceritakan kebiadapannya kepada khalayak seolah-olah tiada menjadi kesalahan atas perbuatan kemungkaran
Beraja di mata bersultan di hati, hidup tanpa peraturan dan hukum-hukum larangan agama tiada dihiraukan, seperti haiwan-haiwan yang tiada akal fikiran
Kemana hilangnya kemanusiaan?
Kemana hilangnya keinsanan?
Kemana hilangnya peta pedoman?
Kemana hilangnya kewarasan fikiran?
Kemana hilangnya kepercayaan kepada Tuhan?
Tanyakanlah kepada dirimu sendiri
Hendak jadi apa kamu di muka bumi ini?
Manusiakah?
Insankah?
Haiwankah?
Syaitankah?
Atau firaunkah yang mempertuhankan diri?
Sesungguhnya dari Tuhan engkau datang dan kepada Tuhan engkau akan dikembalikan....
Maka buatlah pilihan dan bersiaplah dengan alasanmu untuk persoalan-persoalan yang bakal di pertanggungjawabkan nanti andai engkau mampu memberi alasan.
Salam sang fakir
Amir Debu Alam.
Post a Comment for "MAU JADI APAKAH KITA ?"