Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

SYA’BAN : SEJARAH PERUBAHAN KIBLAT

SYA’BAN : SEJARAH PERUBAHAN KIBLAT

• Dari Baitul Maqdis Menghadap ke Arah Kaabah Masjidil Haram

📍Sejarah Penurunan Ayat

Al-Imam al-Bukhari (256 H) meriwayatkan dari al-Barra’ bin ‘Azib (72 H) رضي الله عنه katanya:

كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ صَلَّى نَحْوَ بَيْتِ الْمَقْدِسِ سِتَّةَ عَشَرَ أَوْ سَبْعَةَ عَشَرَ شَهْرًا، وَكَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يُحِبُّ أَنْ يُوَجَّهَ إِلَى الْكَعْبَةِ فَأَنْزَلَ اللَّهُ :

“Ketika Rasulullah ﷺ tiba di Madinah, Baginda bersolat menghadap ke arah Baitul Maqdis selama 16 bulan atau sekitar 17 bulan. Padahal Baginda sangat gembira kalau solatnya menghadap ke arah Kaabah.” Berikutan itu, Allah SWT menurunkan ayat ini :

قَدۡ نَرَىٰ تَقَلُّبَ وَجۡهِكَ فِی ٱلسَّمَاۤءِۖ فَلَنُوَلِّیَنَّكَ قِبۡلَةࣰ تَرۡضَىٰهَاۚ فَوَلِّ وَجۡهَكَ شَطۡرَ ٱلۡمَسۡجِدِ ٱلۡحَرَامِۚ وَحَیۡثُ مَا كُنتُمۡ فَوَلُّوا۟ وُجُوهَكُمۡ شَطۡرَهُۥۗ

“Kerap kali Kami melihat engkau (wahai Muhammad), berulang-ulang menengadah ke langit, maka Kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai. Oleh itu palingkanlah mukamu ke arah masjid Al-Haraam (tempat letaknya Kaabah); dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya...”

(Surah al-Baqarah [2] : ayat 144)

HR. Al-Bukhari (399) Muslim (525) Imam Ahmad (18496) dalam musnadnya, Ibnu Khuzaimah (428) dalam sahihnya, Ibnu Hibban (1716) dalam sahihnya, al-Baihaqi (1/101) dalam Syu’ab al-Iman dan lain-lain.

📍Kaitan Ayat Dengan Ayat Sebelumnya

Nabi Muhammad ﷺ amat berhasrat untuk mendapat kebenaran peralihan kiblat dari Baitul Maqdis ke Kaabah. Ini memandangkan bahawa kedudukan Kaabah itu sebagai kiblat moyang Baginda iaitu Nabi Ibrahim عليه السلام. Kiblat itu juga lebih memberikan kesan dakwah dalam meraih keimanan orang-orang Arab. Mereka jugalah yang diharap-harapkan menjadi pendukung agama ini. Juga disebabkan orang-orang Yahudi berkata: “Mereka menyanggah agama kita tapi mereka mengikuti kiblat kita. Kalaulah bukan kerana agama kita, mereka tidak akan tahu manakah arah untuk menghadap kiblat.” Rasulullah ﷺ tidak menyukai kiblat mereka, sehinggakan diriwayatkan bahawa Nabi ﷺ berkata kepada Jibril عليه السلام : Aku amat gembira andainya Allah SWT memalingkan aku dari kiblat orang-orang Yahudi ke arah lain.

📍Keterangan Ayat :

Allah Subhanahu wa Ta’ala melihat Nabi ﷺ kerapkali memandang-mandang ke arah langit dari masa ke semasa dalam keadaan mengimpikan turunnya wahyu dan berlakunya peralihan kiblat ke Kaabah. Jelas di sini, Rasulullah ﷺ tidak memohon perkara tersebut, cuma baginda menunggu-nunggu dan mengharap sahaja. Dalam hal ini, tidak dianggap sebagai menentang arahan Tuhannya. Kesucian jiwa yang dimiliki mendorong Baginda memberi tumpuan kepada suatu yang baik dan menilainya sebagai suatu kepentingan (maslahah).

  Oleh kerana Nabi ﷺ amat berharap agar berlaku peralihan kiblat, justeru Allah SWT membenarkan Baginda menghadap ke arah kiblat yang disukai (Kaabah) bukannya Baitul Maqdis, sejajar dengan matlamat murni yang diingininya (iaitu menghimpunkan manusia pada satu kiblat secara khusus demi menyatukan hati-hati mereka). Dengan cara demikian, suatu kebaikan yang besar akan terhasil. Oleh itu, alihkan wajah kamu ke arah atau menghadap Masjidil Haram yang melingkungi Kaabah.

  Ayat berkenaan menyebut Masjidil Haram, bukannya Kaabah, sedangkan Kaabah itulah kiblat -sebagaimana yang disabitkan di dalam hadis-hadis. Ia merupakan suatu petunjuk yang jelas bahawa memadai bagi orang yang jauh dan tidak mampu melihat Kaabah secara berhadapan supaya bersembahyang menghadap ke arah Masjidil Haram. Perkara ini diperkukuhkan melalui perintah daripada Allah SWT kepada orang-orang beriman menerusi firmanNya:

“Dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.” Yakni di mana sahaja anda berada, hendaklah menghadapkan muka ke arahnya ketika sembahyang. Ini merupakan kenyataan yang jelas melalui hukum yang umum yang dirumuskan dari firman Allah SWT:

“Oleh itu palingkanlah mukamu.” Hukum di sini menjelaskan bahawa seseorang yang bersembahyang di mana-mana sekalipun, hendaklah menghadap ke arah kiblat, sama ada ke araha Timur ataupun Barat, Utara ataupun Selatan, dari segi kedudukan geografi. Bukan seperti orang-orang Nasrani yang memestikan menghadap ke arah Timur dan bukan seperti orang-orang Yahudi yang memestikan menghadap ke arah Barat semata-mata.

  Arahan kepada orang-orang beriman supaya menghadapkan wajah ke arah kiblat ditegaskan selepas perintah kepada Nabi ﷺ, sedangkan mesej kepada Nabi ﷺ itu juga merupakan mesej untuk umatnya. Ini memandangkan kepentingan Kaabah sebagai kiblat. Ia merupakan suatu peristiwa yang besar.

  Peralihan ini juga merupakan titik perubahan yang meletakkan asas kemerdekaan dalam urusan ibadat umat Islam dan menamatkan arah kiblat di Baitul Maqdis. Ia juga bertujuan meningkatkan ketabahan orang-orang beriman dan memberikan ketenangan kepada mereka; khususnya bagi menyelesaikan fitnah yang dicetuskan oleh orang-orang munafik dan ahli Kitab (golongan Yahudi dan Nasrani). Pandangan ahli Kitab diabaikan dan ikutan Rasulullah diperteguhkan. Ia juga menolak sangkaan bahawa kiblat adalah pada arah Syam. Semua perkara ini adalah pengisytiharan mengenai keumuman hukum meliputi semua tempat secara umum: “Dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah muka kamu ke arahnya.” (Surah al-Baqarah [2] : ayat 144)

[Tafsir Al-Munir lil Zuhaily, 2/19-22]

Moga Allah memberi kefahaman kepada kita semua. Amiin.

Wallahua’lam. Sollu’alannabi.

-MTS-

https://t.me/skuadpemudaislam

Post a Comment for "SYA’BAN : SEJARAH PERUBAHAN KIBLAT "