Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

KERANA RAHMAT MU YA RABB

BISMILLAH

KERANA RAHMAT MU YA RABB

aku adalah manusia,
yang acap kali berjalan 
congkak,
dan terus berbuat 
fasik dan mungkar.

aku adalah makhluk,
yang terkadang lupa,
dan acap kali 
sombongkan diriku.

aku adalah dzat 
yang Ia sempurnakan,
namun terkadang 
menjadi tinggi,
kerana merasa akal 
menjadi penentu akan 
segala hal keputusan.

aku lupa siapa aku,
dan pada siapa aku 
harus menunduk dan tunduk.

aku lupa siapa aku,
kerana aku terus 
menjadikan akal 
sebagai dewa kebenaran,
dan melupakan 
Ia sebagai Khalik yang 
Maha Benar dan Besar.

aku lupa dengan diri-Nya,
yang sentiasa menjaga 
dan mengawasi,
dan tidak pernah 
lengah dari sekecil 
apapun dosa yang 
ku lakukan.

aku lupa akan diri Nya,
yang Maha Melihat 
dan Mengetahui, 
sekecil apapun 
dusta yang aku simpan.

aku lupa akan diri-Nya,
yang menutup aib-aib 
diri penuh dosa ini 
di mata manusia,
dan masih aku terus 
berjalan congkak,

merasa benar akan 
setiap logika yang 
berjalan dalam fikiran,
membantah setiap firman-Nya 
yang telah jelas.

sekali lagi, 
aku pun congkak,
dan aku sendiri yang 
melangkah pada jalan 
kehinaan di dunia Nya.

satu, dua, bahkan 
ratusan kali kata 
taubat aku ucapkan,

kerana rahmat Tuhanku, 
aku beroleh kesihatan,
kerana rahmat Tuhanku, 
aku beroleh kebaikan,
kerana rahmat Tuhanku pulalah, 
aku beroleh kesenangan.

kerana rahmat Tuhanku,
bukan kerana kepandaian, 
ketampanan, 
kekayaan dan 
kebijaksanaan
namun, 
kerana rahmat Tuhanku 
aku masih menjadi orang 
yang dikatakan baik.

Tuhanku,

hanyalah Kesempurnaan 
Sejati milik Mu,
dan adalah Kebenaran 
Haqiqi yang berada 
di genggaman Mu.

 

Kalam Musafir

Post a Comment for "KERANA RAHMAT MU YA RABB"