Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Ketika kebenaran ini akan tersingkap Dari lidah kebenaran

~ Ketika kebenaran ini akan tersingkap~
        = Dari lidah kebenaran =

Biar berbagai cerita mereka menafsir diriMu
Biar berbagai cara mereka mendekatiMu
Biar berbagai cara mereka menghujahkan
Namun...aku tetap setia berdiri di pintuMu
Aku tetap berpaut pada tali teguhMu
Aku tetap dengan janji benarMu
Sehingga Engkau sudi membukakan pintu salamMu
Aku akan setia menunggu di bawah payung langit yang renta ini

Biar mereka enggan mempercayai
Biar mereka enggan menuruti
Biar mereka mencipta beribu alasan buat membenarkan kekeliruan mereka
Namun...aku telah melihat bukti
Dan aku juga telah mengerti akan sandiwara ini
Aku telah mendengarkan kalam maknawi
Bahawa Engkaulah kebenaran itu
Engkaulah keberadaan itu
Tanpa perlu aku meragui lagi
Tanpa perlu aku beralasan lagi
Tanpa perlu aku menghujah lagi
Aku dengar...
Aku percaya...
Dan aku taati....

Jalan-jalan yang Engkau bentangkan
Bukti-bukti yang Engkau perlihatkan
Para utusan yang Engkau utus menyampaikan
Panahan-panahan kalam kebenaran yang Engkau lecutkan pada lembaran mushaf-mushaf
Adalah bahasa Engkau meriwayatkan kewujudan dan keagunganMu
Bahawa Engkaulah Tuhan yang Agung
Bahawa engkaulah kenyataan itu
Bahawa Engkaulah yang Maha Perkasa
Bahawa Engkaulah pentadbir akan wilayah alam ciptaan ini
Bahawa Engkaulah yang sedang menyata berhijabkan gambaran pada alam cipta kebesaranMu
Cerminan alam ini hanya memantulkan wajah keindahanMu
Namun siapa yang menyadari dan memperlihatkan?
Betapa agungnya diriMu
Betapa indahnya syair puisiMu
Betapa kudus dan luhurnya kasihMu
Betapa luas wilayah alam pentadbiranMu
Begitu sempurna dan teratur alam ciptaMu

Dan aku hanyalah di antara sebutir debu dari debu alam
Yang tak memiliki suatu apa pun
Hanya gambaran dalam kekosongan
Hanya bayang tanpa kewujudan
Hanyalah secebis ayat di antara ayat-ayat dan bukti keluasan ilmuMu yang maha sempurna
Hanyalah ayat dan bukti mengambarkan keindahan diriMu
Hanyalah wadah tempat engkau menyatakan kebesaranMu

Sehingga segala kebenaran ini belum tersingkap maka mereka tiada akan percaya dan memperdulikan segala seruan juga peringatan
Kerana manusia itu memang sifatnya suka membantah dan amat besar keingkarannya
Hanya seronok melayan hawa nafsu dan membuang waktu kepada sesuatu yang tiada mendatangkan faedah

Dan saat kebenaran itu tersingkap, maka akan menjeritlah hati-hati menyesali kerana tiada mempercayai akan seruan dan peringatan yang telah di sampaikan....

Salam sang fakir
Amir Debu Alam

Post a Comment for "Ketika kebenaran ini akan tersingkap Dari lidah kebenaran"