Skip to content Skip to sidebar Skip to footer

Bulan Sya'ban

SYA’BAN : ADA APA DENGAN BULAN INI ?

Saidina Usamah Bin Zaid (54 H) رضي الله عنهما berkata:

قُلْتُ : يَا رَسُولَ اللَّهِ لَمْ أَرَكَ تَصُومُ شَهْرًا مِنَ الشُّهُورِ مَا تَصُومُ مِنْ شَعْبَانَ ‏

Aku pernah bertanya kepada Rasulullah ﷺ : “Ya Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada bulan-bulan lain sebagaimana (kerapnya) engkau berpuasa di bulan Sya’ban.”

قَالَ ‏ : ذَلِكَ شَهْرٌ يَغْفُلُ النَّاسُ عَنْهُ بَيْنَ رَجَبٍ وَرَمَضَانَ وَهُوَ شَهْرٌ تُرْفَعُ فِيهِ الأَعْمَالُ إِلَى رَبِّ الْعَالَمِينَ فَأُحِبُّ أَنْ يُرْفَعَ عَمَلِي وَأَنَا صَائِمٌ ‏

Baginda ﷺ menjawab: “Bulan tersebut merupakan waktu manusia lalai iaitu antara Rejab dan Ramadhan. Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa.”

HR. Al-Nasa’i (2357). Imam Ibnu Khuzaimah mensahihkan hadis ini.

Imam Ibn Rajab al-Hanbali (795 H) menyatakan:

و فيه دليل على استحباب عمارة أوقات غفلة الناس بالطاعة و أن ذلك محبوب لله عز و جل كما كان طائفة من السلف يستحبون إحياء ما بين العشاءين بالصلاة ويقولون : هي ساعة غفلة و لذلك فضل القيام في وسط الليل المشمول الغفلة لأكثر الناس فيه عن الذكر

“Di dalam hadis ini terdapat dalil menunjukkan digalakkan beribadah di saat-saat manusia lain lalai daripada ketaatan, dan ia merupakan perbuatan yang disukai oleh Allah.  Ia sebagaimana yang dilakukan oleh generasi salaf, mereka suka menghidupkan waktu antara dua Isya’ dengan mendirikan solat. Mereka berkata: Itu merupakan saat manusia lalai, maka begitu juga dengan kelebihan melakukan Qiamullail pada pertengahan malam kerana kelalaian ramai manusia pada ketika itu daripada mengingati Allah.”

[Lathaif al-Ma’arif hlm. 131]

📌Nabi Membanyakkan Puasa di Bulan Sya’ban

عَنْ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهَا ، قَالَتْ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَصُومُ ، حَتَّى نَقُولَ : لَا يُفْطِرُ ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ : لَا يَصُومُ ، فَمَا رَأَيْتُ رَسُولَ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ اسْتَكْمَلَ صِيَامَ شَهْرٍ إِلَّا رَمَضَانَ ، وَمَا رَأَيْتُهُ أَكْثَرَ صِيَامًا مِنْهُ فِي شَعْبَانَ

Saidatina ‘Aisyah (57 H) رضي الله عنها berkata: “Rasulullah ﷺ biasa berpuasa hingga kami menyatakan baginda tidak pernah berbuka (maksudnya setiap hari berpuasa). Baginda ﷺ turut berbuka sehinggakan kami menyatakan bahawa baginda tidak berpuasa. Aku tidak pernah sama sekali melihat Rasulullah ﷺ berpuasa sebulan penuh selain pada bulan Ramadhan. Aku pun tidak pernah melihat baginda berpuasa yang lebih banyak daripada berpuasa di bulan Sya’ban.”

HR. Al-Bukhari (1969) dalam sahihnya.

📌 Bolehkah Berpuasa Penuh Sebulan di Bulan Sya’ban?

عَنْ أَبِي سَلَمَةَ ، قَالَ : سَأَلْتُ عَائِشَةَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْ صِيَامِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ، فَقَالَتْ : ” كَانَ يَصُومُ حَتَّى نَقُولَ : قَدْ صَامَ ، وَيُفْطِرُ حَتَّى نَقُولَ : قَدْ أَفْطَرَ ، وَلَمْ أَرَهُ صَائِمًا مِنْ شَهْرٍ قَطُّ أَكْثَرَ مِنْ صِيَامِهِ مِنْ شَعْبَانَ ، كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ كُلَّهُ ، كَانَ يَصُومُ شَعْبَانَ إِلَّا قَلِيلًا

Daripada Abu Salmah (93 H) رضي الله عنه : “Aku telah bertanya kepada Saidatina ‘Aisyah رضي الله عنها tentang puasa Rasulullah ﷺ, beliau menjawab: Baginda sering berpuasa sehingga kami menyatakan sesungguhnya dia berpuasa, dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami berkata: Baginda tidak berpuasa. Aku tidak pernah melihat dia berpuasa melebihi jumlah puasanya di bulan Sya’ban. Baginda berpuasa di bulan Sya’ban keseluruhannya, baginda berpuasa di bulan Sya’ban kecuali sedikit sahaja (hari yang baginda tidak berpuasa).”

HR. Muslim (1156) dalam sahihnya

عَنْ أُمِّ سَلَمَةَ، عَنِ النَّبِيِّ صلى الله عليه وسلم أَنَّهُ لَمْ يَكُنْ يَصُومُ مِنَ السَّنَةِ شَهْرًا تَامًّا إِلاَّ شَعْبَانَ وَيَصِلُ بِهِ رَمَضَانَ ‏.‏

Ummu Salamah (61 H) رضي الله عنها menyatakan: “Bahawa Nabi ﷺ tidak pernah berpuasa sunat sebulan penuh kecuali Sya’ban dan diteruskan dengan berpuasa (fardhu) Ramadhan. “

HR. Al-Nasa’i (2353). Hadis ini sahih.Ulama berbeza pendapat dalam mengharmonikan riwayat yang menyatakan Nabi ﷺ berpuasa penuh di bulan Sya’ban, dan yang menyatakan Nabi ﷺ tidak berpuasa penuh.

Antara pendapat yang ada ialah:

📍 Ada kalanya Nabi ﷺ berpuasa penuh di bulan Sya’ban, dan ada kalanya tidak penuh sebulan.

📍 Ada kalanya Nabi ﷺ berpuasa di awal Sya’ban, kadang-kala di pertengahan Sya’ban, dan kadang-kala di akhir Sya’ban.

📍 Maksud penuh dalam riwayat di atas ialah ‘kebanyakan hari’. Ini sebagaimana dalam riwayat Sahih Muslim (1156) di atas. ‘Baginda berpuasa di bulan Sya’ban keseluruhannya, baginda berpuasa di bulan Sya’ban kecuali sedikit sahaja (hari yang baginda tidak berpuasa)’ yang mana pernyataan kedua menghuraikan maksud pernyataan pertama.

Ia juga selari dengan riwayat berikut:

عَنِ ابْنِ عَبَّاسٍ ـ رضى الله عنهما ـ قَالَ مَا صَامَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم شَهْرًا كَامِلاً قَطُّ غَيْرَ رَمَضَانَ، وَيَصُومُ حَتَّى يَقُولَ الْقَائِلُ لاَ وَاللَّهِ لاَ يُفْطِرُ، وَيُفْطِرُ حَتَّى يَقُولَ الْقَائِلُ لاَ وَاللَّهِ لاَ يَصُومُ‏.‏

Daripada Ibnu ‘Abbas (68 H) رضي الله عنهما , beliau berkata: “Nabi ﷺ tidak pernah berpuasa sebulan penuh kecuali Ramadhan. Baginda berpuasa sehingga orang berkata: Demi Allah, baginda tidak berbuka. Baginda tidak berpuasa sehingga orang berkata: Demi Allah, baginda tidak berpuasa.”

HR. Al-Bukhari (1971). Ini adalah pendapat Abdullah Ibn Mubarak. Ini juga pendapat yang dipilih oleh al-Hafiz Ibnu Hajar al-‘Asqalani.

Ulama berbeza pendapat tentang hikmah Nabi ﷺ membanyakkan puasa di bulan Sya’ban. Antara pendapat itu ialah:

📍Baginda ﷺ menggantikan puasa-puasa sunat sebelum ini yang tidak sempat dilakukan. Ini berdasarkan riwayat berikut akan tetapi ia riwayat yang lemah:

عَنْ عَائِشَةَ : كَانَ رَسُولُ اللَّهِ – صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ – يَصُومُ ثَلَاثَةَ أَيَّامٍ مِنْ كُلِّ شَهْرٍ ، فَرُبَّمَا أَخَّرَ ذَلِكَ حَتَّى يَجْتَمِعَ عَلَيْهِ صَوْمُ السَّنَةِ فَيَصُومَ شَعْبَانَ

Daripada ‘Aisyah (57 H) رضي الله عنها : “Rasulullah ﷺ  sering berpuasa sebanyak tiga hari dalam setiap bulan. Boleh jadi baginda menangguhkan puasa sunat tersebut sehingga berkumpul padanya puasa sunat sepanjang tahun, lalu baginda berpuasa di bulan Sya’ban.”

HR. Al-Thabrani (2098) dalam al-Ausath. Al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan ia dhaif kerana terdapat perawi bernama Ibnu Abi Laila.

📍Baginda ﷺ ingin meraikan isteri-isteri baginda yang mengqadhakan puasa Ramadhan dalam bab ini.

📍Baginda ﷺ ingin memuliakan Ramadhan. Ini berdasarkan riwayat berikut akan tetapi ia riwayat yang lemah.

عَنْ أَنَسٍ، قَالَ سُئِلَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم أَىُّ الصَّوْمِ أَفْضَلُ بَعْدَ رَمَضَانَ فَقَالَ ‏:شَعْبَانُ لِتَعْظِيمِ رَمَضَانَ ‏.قِيلَ فَأَىُّ الصَّدَقَةِ أَفْضَلُ قَالَ: صَدَقَةٌ فِي رَمَضَانَ

Daripada Anas (93 H) رضي الله عنه : Nabi ﷺ ditanya: “Puasa apakah yang paling afdhal selepas Ramadhan?” Baginda menjawab: “Sya’ban, untuk memuliakan Ramadhan.” Baginda ditanya lagi: “Sedekah apakah yang paling afdhal?” Baginda menjawab: “Sedekah dalam bulan Ramadhan.”

HR. Al-Tirmidzi ( 663). Hadis gharib.

Bahkan ia bertentangan dengan hadis sahih berikut:

عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، – رضى الله عنه – قَالَ :قَالَ رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم: أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ وَأَفْضَلُ الصَّلاَةِ بَعْدَ الْفَرِيضَةِ صَلاَةُ اللَّيْلِ

Daripada Abu Hurairah (57 H)رضي الله عنه , Rasulullah ﷺ bersabda: “Sebaik-baik puasa selepas Ramadhan ialah puasa di bulan Allah Al-Muharram. Sebaik-baik solat selepas solat fardhu ialah solat malam.” HR. Muslim (1163)

📍 Ini kerana amal diangkat pada bulan Sya’ban. Inilah pendapat yang dipilih Al-Hafiz Ibnu Hajar berdasarkan hadis Usamah bin Zaid yang menyebutkan: ‘Ia merupakan bulan yang mana pada bulan tersebut amalan diangkat kepada Allah. Aku suka amalan aku diangkat ketika aku berpuasa.’

[Fath al-Bari bi Syarh Sahih al-Bukhari, 4/213-215].

Yang mana belum habiskan qadha puasa, dialu-alukan berpuasa esok. Moga Allah membimbing kita semua. Amiin. Wallahua’lam. Sollu’alannabi.

-MTS-

https://t.me/skuadpemudaislam

Post a Comment for "Bulan Sya'ban"